Tugasan Individu




BMS 3022
KARYA AGUNG MELAYU


TUGASAN INDIVIDU
GURINDAM DUA BELAS


DISEDIAKAN OLEH:
NOOR FADHILAH BINTI AB. AZIZ

D20111047510

KUMPULAN B


NAMA PENSYARAH : DR. SERI LANANG JAYA BIN HJ ROHANI

TARIKH PENGHANTARAN: 15 APRIL 2015




1.0       Pengenalan

Gurindam Dua Belas merupakan mahakarya Raja Ali Haji yang unik dan istimewa kerana gurindam pertawa dan terawal dicipta oleh beliau dalam bahasa yang indah bertujuan untuk menyebarkan syariat Islam dan memberikan pengajaran kepada masyarakat. Gurindam Dua Belas mengandungi dua belas fasal yang mengangkat konsep islamik dalam pelbagai sudut. Gurindam ini mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam menegakkan syiar Islam kepada masyarakat kerana mempunyai mesej yang sarat dengan nasihat dan pengajaran. Gurindam ini dilihat relevan dan sebati dengan peredaran zaman meskipun dikarang pada tahun 1847 oleh Raja Ali Haji. Landasan Islam dan pemikirannya yang kreatif membentuk Gurindam Dua Belas sebagai mahakarya yang hebat bahkan pembaharuan aliran Islam dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Pengkajian yang mendalam dilakukan berdasarkan aspek falsafah, pemikiran, kepengarangan dan estetik bagi mengangkat Gurindam Dua Belas sebagai sebuah karya agung Melayu yang bersifat universal dan relevan dengan peredaran zaman disamping memartabatkan karya Islam yang kreatif dan segar sepanjang zaman.


2.0       Falsafah

Falsafah ialah cinta kepada ilmu dan kebenaran. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Antara bidang falsafah ialah etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik dan logik. Banyak falsafah yang dapat kita lihat menerusi Gurindam Dua Belas seperti kosmologi, pengetahuan, politik, etika, sosial dan juga logik.


Falsafah kosmologi

Kosmologi tentang kejadian, peristiwa dan keadaan kemanusiaan pada masa lampau dalam kaitannya dengan masa kini. Raja Ali Haji menekankan dalam fasal yang pertama tentang manusia perlu mengenali diri sendiri untuk mengenali Tuhan, iaitu Allah. Beliau meletakkan manusia akan mengharungi dugaan yang banyak di dunia dan akan menghadapi akhirat di suatu masa kelak bagi menghitung segala perbuatan mereka. Contohnya seperti dalam gurindam di bawah;

Barang siapa tiada memegang agama
Segala-gala tiada boleh dibilang nama

Barang siapa mengenal yang empat
Maka yaitulah orang yang ma’rifat

Barang siapa mengenal Allah
Suruh dan tegaknya tiada ia menyalah

Barang siapa mengenal diri
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri

Barang siapa mengenal dunia
Tahulah ia barang yang terpedaya

Barang siapa mengenal akhirat
Tahulah ia dunia mudharat


Falsafah politik

Falsafah politik ialah aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan sesebuah negara. Raja Ali Haji turut meletakkan politik sebagai satu falsafah yang penting dalam Gurindam Dua Belas berdasarkan fasal kedua belas seperti yang berikut;

Raja mufakat dengan menteri
Seperti kebun berpagarkan duri

Betul hati kepada raja
Tanda jadi sebarang kerja

Hukum adil atas rakyat
Tanda raja beroleh inayat

Kasihkan orang yang berilmu
Tanda rahmat atas dirimu

Hormat akan orang yang pandai
Tanda mengenal kasa dan cindai

Ingatkan dirinya mati
Itulah asal berbuat bakti

Akhirat itu terlalu nyata
Kepada hati yang tidak buta

            Falsafah politik dalam gurindam di atas menunjukkan hubungan antara raja dan menteri adalah saling menjaga dan melindungi serta bekerjasama. Raja atau pemerintah yang baik digambarkan mendapat petunjuk dari Allah dengan berlaku adil kepada rakyatnya selain hukum yang dijatuhi rakyat menepati hak asasi manusia sejagat. Beliau juga menyelitkan orang yang berilmu dipandang mulia oleh Allah dan menyeru agar saling menghormati antara makhluk bahkan Raja Ali Haji menyifatkan orang yang yakin dengan hari akhirat adalah orang yang mempunyai hati yang celik. Oleh hal yang demikian, gurindam tersebut berpaksikan falsafah politik yang cukup kuat bagi memastikan sistem pemerintahan berjalan seperti yang dituntut oleh syarak dan hukuman berlandaskan kemanusiaan.


Falsafah etika
Falsafah etika berkaitan dengan moral, pendidikan dan pengajaran. Raja Ali Haji memberikan penekanan yang cukup besar tentang moral kerana beliau menegakkan ilmu tasawuf sebagai satu landasan dalam membentuk peribadi dan akhlak manusia sejagat melalui Gurindam Dua Belas. Contoh yang dapat dilihat menerusi fasal ketiga seperti yang berikut;

Apabila terpelihara mata
Sedikitlah cita-cita

Apabila terpelihara kuping
Khabar yang jahat tiadalah damping

Apabila terpelihara lidah
Niscaya dapat daripadanya faedah

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan
Daripada segala berat dan ringan

Apabila perut terlalu penuh
Keluarlah fi’il yang tidak senonoh

Anggota tengah hendaklah ingat
Di situlah banyak orang yang hilang semangat

Hendaklah peliharakan kaki
Daripada berjalan yang membawa rugi


            Gurindam diatas menjelaskan bahawa orang yang bijak menggunakan nikmat anggota badan yang dikurniakan oleh Allah ke jalan kebenaran akan peroleh manfaat dan kebaikan. Penyalahgunaan nikmat atau kuasa yang ada akan mengakibatkan mudarat kepada diri sendiri dan juga orang lain. Raja Ali Haji menegaskan bahawa moral yang tinggi atau kawalan nafsu yang baik dalam melakukan sesuatu pekerjaan akan membuahkan hasil yang baik. Hal ini demikian kerana moral atau integriti penting dalam pembentukan jati diri sebagai muslim yang berubah ke rah yang lebih sempurna selain setiap nikmat yang dikurniakan mempunyai tanggungjawab yang berbeza bahkan seseorang itu mestilah menjalankan amanah dengan baik dan adil. Selain itu, Raja Ali Haji meletakkan satu syariat yang amat dituntut kepada ummat manusia yang beragama Islam, iaitu Rukun Islam sebagai benteng keutuhan iman dan panduan hidup dalam mendapatkan keberkatan ibadah mereka. Perkara tersebut dapat dilihat dalam fasal kedua seperti yang berikut;

Barang siapa mengenal yang tersebut
Tahulah ia makna takut

Barang siapa meninggalkan sembahyang
Seperti rumah tiada bertiang

Barang siapa meninggalkan puasa
Tidaklah mendapat dua termasa

Barang siapa meninggalkan zakat
Tiadalah hartanya beroleh berkat

Barang siapa meninggalkan haji
Tiadalah ia menyempurnakan janji


Falsafah sosial
Raja Ali Haji turut menekankan falsafah sosial dalam gurindam tersebut, iaitu tentang gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Realiti kehidupan dalam masyarakat mengharungi pelbagai dugaan dan ujian oleh Allah, namun sifat mazmumah yang wujud dalam diri manusia yang zalim, suka mengumpat, suka mengambil hak orang lain dan sebagainya antara realiti sosial dalam masyarakat yang sering berlaku. Raja Ali Haji menyifatkan manusia sentiasa dikawal oleh nafsu, jadi mereka haruslah meletakkan iman dan agama sebagai tonggak utama dalam melakukan setiap pekerjaan. Contoh yang dapat dilihat menerusi fasal keempat seperti di bawah;


Hati itu kerajaan di dalam tubuh
Jikalau zalim segala anggota tubuh pun rubuh

Apabila dengki sudah bertanah
Datanglah daripadanya beberapa anak panah

Mengumpat dam memuji hendaklah pikir
Di situlah banyak orang yang tergelincir

Pekerjaan marah jangan dibela
Nanti hilang akal di kepala

Jika sedikitpun berbuat bohong
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung

Tanda orang yang amat celaka
Aib dirinya tiada ia sangka


Falsafah logik
Falsafah logik ialah pemikiran yang rasional, takulan dan sebab musabab. Raja Ali Haji meletakkan tabiat atau perilaku manusia perlu dididik dengan sempurna sejak dari kecil lagi supaya tidak mengundang musibah atau kemudaratan pada diri sendiri kelak. Contoh gurindam dapat dilihat dalam fasal ketujuh seperti yang berikut;

Apabila banyak berkata-kata
Di situlah jalan masuk dusta

Apabila banyak berlebih-lebihan suka
Itu tanda hampirkan duka

            Gurindam di atas menunjukkan sebab musabab yang diperolehi seseorang hasil daripada tindakan yang diambil. Raja Ali Haji menjelaskan secara logik bahawa orang yang bercakap terlalu banyak akan membuka jalan yang dusta, iaitu seseorang itu akan berbohong atau menokok tambah hasil percakapannya sehingga menyebabkan fitnah ataupun sikap tidak jujur berlaku. Selain itu, orang yang terlalu berharap kepada sesuatu tanpa ada inisiatif lain akan menghadapi kekecewaan jika tiada persediaan untuk mengdepani sebarang kemungkinan. Secara logiknya, golongan muda kebiasaannya menghadapi situasi sebegini sehingga memudaratkan diri bahkan tidak meletakkan agama sebagai landasan hidup selepas menghadapi kegagalan dalam kehidupan.


3.0       Pemikiran
Raja Ali Haji mempunyai pemikirannya yang tersendiri dalam penghasilan Gurindam Dua Belas, iaitu keislaman yang menekankan ilmu tasawuf dan keintelektualan Melayu. Beliau menekankan unsur keagamaan dalam karya berdasarkan pemikiran Imam Al Ghazali khususnya kitabnya Ihya Ulumuddin (Membangkitkan Kembali Ilmu-ilmu Islam) yang menggunakan logik dan pemikiran yang mendalam. Raja Ali Haji menegaskan orang Islam ditekankan tentang kepentingan moral untuk meningkatkan keimanan dan tingkah laku manusia dalam kehidupan sosialnya. Banyak contoh yang dapat dilihat berdasarkan Gurindam Dua Belas seperti di bawah;


Kejahatan diri disembunyikan
Kebajikan diri diamkan

Ke’aiban orang jangan dibuka
Ke’aiban diri hendaklah sangka

Akhirat itu terlalu nyata
Kepada hati yang tidak buta

Gurindam Dua Belas mengandungi dua belas fasal yang membincangkan pelbagai persoalan kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia, mahupun di akhirat. Antara persoalan yang terkandung dalam puisi tersebut termasuklah mengenai akidah dan tasawuf, syariat rukun Islam, kepentingan akhlak, serta konsep pemerintahan. Setiap fasal dilihat berupaya menyentuh jiwa kesedaran masyarakat, sekaligus memainkan peranan penting bagi membentuk nilai keperibadian insan berlandaskan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua Belas, secara tidak langsung mencerminkan contoh insan yang memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan sempurna.  

 Raja Ali Haji meletakkan ilmu tawasuf sebagai cara untuk membersihkan unsur-unsur yang boleh melemahkan gaya hidup dan perkara yang boleh mengikis intelektual dalam diri seseorang terutamanya muslim. Hal ini demikian kerana, Gurindam Dua Belas menekankan ilmu tasawuf sebagai ilmu kerohanian yang berfungsi untuk mencapai jalan kebenaran atau Tauhid melalui pembentukan aqidah dan akhlak melalui penyucian diri dan hati dengan mengenal Allah. Penekanan ajaran tasawuf melalui Gurindam Dua Belas berdasarkan moral dan etika dianggap jalan yang terbaik bagi beliau untuk memperbaiki akhlak dan peribadi ummat Islam selaras dengan perkembangan persekitaran seperti kuasa, pangkat dan pengaruh. Gurindam tersebut istimewa kerana seiring dengan perkembangan akhlak remaja pada masa kini dan menjadi pengajaran dan pembentuk moral secara tidak langsung melalui setiap fasal yang dikarang oleh Raja Ali Haji yang merangkumi segala aspek.

Intelektual Melayu juga diangkat sebagai salah satu pemikiran Raja Ali Haji, iaitu orang Melayu yang sememangnya mempunyai personaliti dan identiti sebagai muslim yang sejati dengan mengamalkan syariat dan tuntutan Islam. Gurindam Dua Belas menunjukkan orang Melayu sebagai individu yang berintelektual dari segi akhlak, sosial, politik dan sebagainya bukan sahaja luaran bahkan dalaman diri orang Melayu yan beragama Islam itu sendiri seperti yang dapat dilihat dalam gurindam di bawah;

Jika hendak mengenal orang berbangsa
Lihat kepada budi dan bahasa

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia
Sangat memeliharakan yang sia-sia

Jika hendak mengenal orang mulia
Lihatlah kepada kelakuan dia

Jika hendak mengenal orang yang berilmu
Bertanya dan belajar tiadalah jemu

Jika hendak mengenal orang yang berakal
Di dalam dunia mengambil bekal

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai
Lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai


4.0       Kepengarangan
Menurut Mohd Rashid Md. Idris et. al (2014:96), kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad, merupakan salah seorang tokoh pujangga Melayu yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan di Pulau Penyengat, Riau. Beliau merupakan cucu kepada Raja Haji, atau lebih dikenali sebagai Marhum Teluk Ketapang yang syahid di Melaka sewaktu berperang menentang Belanda. Salasilah beliau kemudiannya disusurgalurkan lagi hingga kepada Daeng Chelak, salah seorang daripada lima daeng yang memainkan peranan penting dalam sistem politik di bahagian Barat alam Melayu suatu ketika dahulu (Mohd Taib Osman, 1976).

Pengaruh dan ketokohan beliau dalam bidang keilmuan bermula semenjak kecil lagi apabila beliau mendalami ilmu bahasa dan keagamaan di Mekah. Pada zaman pemerintahan Raja Ali, beliau memainkan peranan sebagai perdana menteri dan penasihat agama, sesuai dengan kebolehan beliau yang menguasai ilmu nahu, usuluddin, fiqh, dan tasawuf (Rahman Shaari dan Mohd Pozi Haji Masurori, 1988). Dalam bidang penulisan pula, Raja Ali Haji merupakan penulis pertama yang memberi definisi lengkap mengenai gurindam. Istilah gurindam sebelum itu tidak memiliki ciri dan bentuk yang khusus, sebaliknya hanya dianggap  sebagai ungkapan puisi biasa yang berbeza daripada pengucapan seharian. Selain itu, beliau juga merupakan pengarang Melayu pertama yang mengaplikasikan sistem pentarikhan ke dalam karya secara tepat dan jelas.

Kehebatan Raja Ali Haji sebagai tokoh pujangga Melayu juga terserlah melalui hasil tulisannya yang pelbagai. Kearifan beliau tidak sekadar terhad dalam bidang agama semata-mata, sebaliknya beliau turut berkarya dalam lapangan disiplin ilmu yang lain seperti bahasa, sejarah, dan ketatanegaraan. Antara karya yang dihasilkan oleh beliau termasuklah Gurindam Dua Belas pada tahun 1864. Dalam himpunan karya beliau,  Gurindam Dua Belas mempunyai kedudukannya yang tersendiri. Meskipun dalam bentuknya yang ringkas, kelebihan Gurindam Dua Belas adalah terletak kepada daya pemikiran dan falsafahnya yang tinggi. Gurindam tersebut mempunyai 12 pasal utama. Setiap fasal menekankan keutamaan agama Islam sebagai pegangan hidup manusia dalam aspek yang berbeza. Raja Ali Haji mengembangkan Gurindam Dua Belas bermula daripada kejadian manusia yang diciptakan Allah untuk mencari kebenaran dan taat akan suruhan-Nya berpandukan Al-Quran, ditekankan secara mendalam tentang aqidah dan akhlak dari aspek diri individu itu sendiri, ibu bapa, masyarakat dan tanggungjawab sebagai bangsa yang beragama Islam serta pengakhiran manusia, iaitu yakin akan datangnya kematian. Kronologi tersebut dapat dilihat seperti perincian setaip fasal di bawah;

Gurindam Fasal Yang Pertama

Enam gurindam yang terdapat dalam fasal ini menekankan agama Islam sebagai agama atau pegangan hidup yang utama dalam menjalani kehidupan. Pengarang menjelaskan manusia yang mengenal Tuhan, iaitu Allah akan memilih jalan yang baik, mengenali asal usul kejadian manusia akan mengenali Maha Penciptanya serta mengetahui akan dunia dan akhirat.


Gurindam Fasal Yang Kedua

Fasal tersebut mengandungi lima gurindam yang merujuk kepada Rukun Islam bagi ummat manusia yang menganut agama Islam. Perkara pertama yang ditekankan oleh pengarang ialah manusia yang sudah mengenali Tuhan mereka, iaitu Allah akan berasa takut akan kekuasaan-Nya dengan mengaku bahawa Allah adalah Tuhan sekalian alam dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah ataupun dikenali sebagai lafaz syahadah. Kedua, kewajipan menunaikan solat yang dianggap sebagai tiang agama. Ketiga, kewajipan mengerjakan ibadah berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Keempat, ummat Islam diwajibkan mengeluarkan zakat untuk keberkatan harta mereka dan kelima ialah kewajipan menunaikan haji yang sempurna.

Gurindam Fasal Yang Ketiga

Fasal tersebut mengandungi tujuh gurindam yang menekankan manusia untuk menggunakan nikmat yang dikurniakan Allah dengan jalan yang betul. Manusia ditegaskan untuk memelihara anggota seperti mata, telinga, lidah, tangan, kaki, perut dan akal bagi menggelakkan perkara yang tidak baik berlaku. Hal ini demikian kerana, pengarang menekankan bahawa nikmat anggota yang dikurniakan tersebut akan membawa manusia sama ada ke jalan mudarat ataupun ke jalan yang lurus berdasarkan imanatau kehendak manusia itu sendiri.

Gurindam Fasal Yang Keempat
Fasal tersebut mengandungi sebelas gurindam yang menekankan sifat dan sikap manusia yang boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri dan masyarakat sekeliling. Antara sifat yang mazmumah yang ditekankan oleh pengarang seperti zalim, dengki, mengumpat, pemarah, berbohong, bakhil, kasar, takbur dan bercakap tidak sopan.

Gurindam Fasal Yang Kelima

Fasal tersebut mengandungi enam gurindam yang menekankan cara mengenali orang yang baik dan soleh melalui personaliti dan keterampilan diri yang dimiliki oleh mereka. Contohnya, personaliti orang yang peramah, bahagia, mulia, berilmu, berakal dan berperilaku yang baik.


Gurindam Fasal Yang Keenam

Fasal tersebut mengandungi lima gurindam yang menekankan manusia perlu memilih orang yang akan membawa mereka ke arah jalan yang bermanfaat. Pengarang menegaskan pembaca perlu mencari sahabat, guru, isteri, kawan dan abdi yang baik supaya bermanfaat untuk diri sendiri kelak.

Gurindam Fasal Yang Ketujuh

Fasal tersebut mengandungi sebelas gurindam yang menekankan adab dan tindakan yang perlu dilakukan semasa berkomunikasi atau membuat pilihan untuk melakukan sesuatu tindakan. Pengarang menegaskan adab dan tindakan yang diambil oleh seseorang akan mempengaruhi kesan yang akan diterima oleh mereka.

Gurindam Fasal Yang Kelapan

Fasal tersebut mengandungi tujuh gurindam yang menekankan tingkahlaku mazmumah yang diamalkan sehingga memudaratkan diri, masyarakat dan mengurangkan iman. Antaranya, sikap khianat, penganiayaan, bermuka-muka, syirik, dan membuka aib orang lain.

Gurindam Fasal Yang Kesembilan

Fasal tersebut mengandungi tujuh gurindam yang menekankan manusia yang tidak mempunyai pegangan agama dan terpengaruh dengan muslihat syaitan. Pengarang menegaskan manusia yang lalai dan leka serta tidak mengendahkan tuntutan agama menjadikan syaitan bermaharajalela dalam diri mereka berbanding orang yang suka menuntut ilmu dan orang tua yang berhemat.

Gurindam Fasal Yang Kesepuluh

Fasal tersebut mengndungi empat gurindam yang menekankan tanggungjawab dan adab dengan ibubapa dan kawan. Pengarang menegaskan bahawa anak-anak tidak boleh menderhakai bapa dan mereka perlu menghormati ibu. Anak-anak perlu bertanggungjawab dan tidak lalai supaya boleh membantu ibubapa di masa kelak dan adab bersama rakan-rakan.


Gurindam Fasal Yang Kesebelas

Fasal tersebut mengandungi enam gurindam yang menekankan adab dan tindakan yang baik adalah perkara yang penting dalam bermasyarakat. Pengarang menegaskan sikap membalas jasa, sifat ketua yang baik, bekerja dengan berhemah, berfikir sebelum bertindak, tidak memperbodohkan diri sendiri dan beradab sopan sangat penting dalam bermasyarakat.

Gurindam Fasal Yang Keduabelas
Fasal yang terakhir mengandungi tujuh 
gurindam yang menekankan tanggungjawab pemerintah terhadap rakyatnya, beramal sebelum kematian dan yakin dengan hari akhirat sebagai orang Islam.


5.0       Estetika

Menurut Mohd Rashid Md. Idris et. al (2014:96), estetik berhubung kaitkan dengan persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera; ia membicarakan unsur keindahan pembinaannya, bahasanya dan pengalaman atau keseronokan pembaca semasa membaca karya tersebut. Menurut beliau lagi, estetika merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran.

            Dalam ungkapan yang padat, Raja Ali Haji masih mampu menggabungjalinkan unsur estetika luaran dan keindahan dalaman. Istilah dan gaya bahasa yang digunapakai tidak bersifat lokal semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi pengaruh dan susunan nahu bahasa Arab (Shafie Abu Bakar, 1996). Contoh susunan nahu Arab seperti yang gurindam di bawah;

Barang siapa mengenal yang empat
Maka yaitulah orang yang ma’rifat

Barang siapa mengenal Allah
Suruh dan tegaknya tiada ia menyalah

Barang siapa mengenal diri
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri

Barang siapa mengenal dunia
Tahulah ia barang yang terpedaya


Istilah ‘Barang siapa’ adalah salah satu nahu yang digunakan dalam bahasa Arab atau terjemahan daripada ayat Al- Quran. Raja Ali Haji banyak mengulang frasa ‘barang siapa’ di dalam penulisan karyanya bagi menunjukkan sekelompok manusia yang melakukan kejahatan mahupun kebajikan. Ini sebagai penegasan dalam karyanya untuk menyedarkan pembaca tentang Islam. Bahasa yang digunakan tepat dan indah tanpa menyelitkan unsur bahasa yang kasar. Beliau menggunakan bahasa Melayu klasik yang memiliki nilai keilmuan yang tinggi dalam menyampaikan mesej kepada pembaca.

Raja Ali Haji menerapkan unsur perhubungan Tuhan dengan manusia serta tanggungjawab manusia terhadap nikmat yang dikurniakan sebagai orang Islam. Setiap fasal yang dikarang oleh beliau mengandungi unsur Islam yang sangat tinggi sebagai satu peringatan kepada manusia agar sentiasa mengamalkan amar makruf nahi mungkar seperti yang disarankan dalam agama Islam. Setiap baris gurindam mengandungi maksudnya yang tersendiri untuk membina jati diri muslim yang sempurna.

            Menurut Sulaiman Masri, Abdullah Yusof dan Mohd Ra’in Shaari (2006), gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit yang merupakan puisi Melayu tradisional yang berbentuk bukan naratif. Gurindam dianggap puisi yang terikat dan bentuknya dua baris serangkap. Rima akhir adalah sama, iaitu a-a. Baris pertama gurindam disebut syarat manakala baris kedua gurindam disebut jawab. Contoh yang yang dapat dilihat seperti yang berikut;

Barang siapa mengenal yang tersebut
Tahulah ia makna takut

Gurindam mengandungi pemerian tentang perkara yang serius seperti falsafah dan keagamaan. Justeru gurindam tidak berjenaka, tidak menyindir, tidak memperkatakan undang-undang atau mengubati penyakit. Gurindam merupakan puisi yang ditulis untuk dibaca dan dihayati. Ia berfungsi untuk menyampaikan pendidikan seperti iman dan moral yang baik. Jadi, Gurindam Dua Belas menepati pemikiran Raja Haji Haji untuk mengangkat Islam sebagai asas pembinaan bahasa estetikanya dalam menyampaikan ilmu tasawuf.

Antara gaya bahasa yang digunakan dalam Gurindam Dua Belas ialah simile, sinkope, bahasa Arab, bahasa klasik dan bahasa kiasan. Simile ialah perumpamaan yang disandar pada sesuatu. Penggunaan seperti dan umpama dalam gurindam, iaitu seperti rumah tiada bertiang, boleh diumpamakan mulutnya itu pekung, mulutnya itu umpama ketor dan seperti kebun berpagarkan duri. Selain itu, penggunaan sinkope dalam gurindam seperti singkatan perkataan kamu dan tidak. Antara contoh yang dapat dilihat ialah cahari olehmu akan sahabat dan tahu pekerjaan tak baik tetapi dikerjakan.

Penggunaan bahasa Arab dalam Gurindam Dua Belas seperti ma’rifat, Allah, mudharat, zakat, fi’il, adil, hujjah dan  inayat. Penggunaan bahasa klasik juga terdapat dalam gurindam tersebut seperti cahari, yaitulah, termasa, niscaya, pikir, mufakat dan pasal. Antara bahasa kiasan yang terdapat di dalam gurindam tersebut seperti yang boleh menyerahkan diri yang membawa makna isteri yang akan mengikut kata-kata dan suruhan suaminya selagi tidak melanggar syarak manakala tanda mengenal kasa dan cindai bererti seseorang tidak membezakan seseorang berdasarkan paras rupa ataupun kedudukan kerana adalah sama di sisi Allah sebagai hamba-Nya.

Pengalaman estetika semasa membaca dan menghayati Gurindam Dua Belas ialah sangat mengagumkan kerana Raja Ali Haji berjaya menyuntik perasaan kesedaran dalam diri pembaca terhadap mesej yang disampaikan berkaitan keislaman dan keintelektualan orang Melayu yang beragama Islam. Pembaca yang memiliki daya fikir yang tinggi akan menganggap gurindam ini sebagai satu nasihat dan teguran yang sangat estetik dalam pembinaan bahasanya namun jelas makna yang cuba disampaikan pembaca. Dengan adanya gurindam yang berkonsepkan Islam seperti Gurindam Dua Belas, akan membuka minda masyarakat terutamanya golongan muda untuk meletakkan agama sebagai tonggak utama dalam kehidupan.



6.0       Kesimpulan
Tuntasnya, Gurindam Dua Belas meletakkan Islam sebagai kekuatan utama dalam pembinaan dalam setiap fasal sebagai satu nilai moral dan etika islamik yang cukup tinggi dan unik. Raja Ali Haji mengangkat Islam sebagai satu landasan dalam berkarya bagi menyuburkan syiar Islam dalam bentuk gurindam bukan sahaja sebagai hiburan dalam masyarakat bahkan nasihat dan pengajaran yang cukup mendalam bagi membina keperibadian muslim dan Islam yang unggul. Raja Ali Haji menggambarkan ummat Islam yang mengharungi pelbagai mehnah dan tribulasi dalam kehidupan wajar menjadikan Gurindam Dua Belas sebagai sempadan untuk pembentukan moral dalam diri.






BIBLIOGRAFI

Mohd Rashid Md. Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, (2014). Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mohd Taib Osman, (1976). Panduan Pengumpulan Tradisi Lisan Malaysia. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Rahman Shaari dan Mohd Pozi Hj Masurori, (1988). Rangkaian Puisi Klasik. Kuala Lumpur: Teks Publishing.

Raja Ali Haji, (1847). Gurindam 12. Pulau Penyengat: Yayasan Tuanku Chalil.

Shafie Abu Bakar, (1996). Gurindam: Citra Kepenyairan Raja Ali Haji. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sulaiman Masri, Abdullah Yusof dan Mohd Ra’in Shaari, (2006). Bahasa Melayu: Dimensi Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.


No comments:

Post a Comment